Memorandom Antara PEKEMA dan MARii
Presiden PEKEMA, Dato’ Zainuddin Bin Abd Rahman di dalam ucapannya berkata,
“Bagi bergerak selari dengan perubahan global industri automotif kini yang menuju ke arah tenaga bersih dan teknologi hijau, pihak PEKEMA telah menjalankan inisiatif menyediakan subsidi kepada ahli-ahli kami untuk memasang stesen pengecasan di tapak pameran masing-masing.
Operasi menambah dan baik pulih infrastruktur pengecasan pantas ini kami lakukan bagi melancarkan proses mencapai lebih banyak stesen pengecasan pantas di dalam negara. Namun dengan situasi pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang di luar kawalan kami ini telah membantutkan inisiatif kami kerana industri automotif adalah tidak dikategorikan dalam perkhidmatan penting. Dan dengan ini, kami berharap industri automotif dapat dikategorikan sebagai antara salah satu perkhidmatan penting negara bagi merealisasikan segala perancangan untuk masa hadapan dan juga bagi membantu ahli-ahli perniagaan di dalam industri ini.”
Menurut Dato’ Zainuddin lagi, “Bagi persediaan jangka masa panjang, PEKEMA dan MARii bekerjasama dalam “EV Centre of Excellence” dimana ia akan menjadi pusat latihan untuk bakal mekanik yang melibatkan teknologi baru seperti perisian atau software, pengurusan tenaga dan sebagainya. Pusat ini juga akan menjadi pusat informasi dari segi penggunaan dan pengalaman. Kami berharap dalam jangka masa 5 tahun, kerjasama di antara PEKEMA dan pihak MARii dapat mencapai kejayaan merealisasikan usaha pembinaan “EV EXCELLENCE CENTRE” ini. PEKEMA juga ingin mengalu-alukan mana-mana syarikat gergasi yang ingin bersama-sama membantu dan menaja usaha sama ini demi kemajuan bersama”.
Pihak PEKEMA mengambil maklum bahawa MARii merupakan penasihat pengerusi pihak kerajaan MITI, dan pihak MARii telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan matlamat tercapai. Usaha baik ini merupakan pemangkin kepada pembangunan negara melalui Kumpulan Wang Amanah Dana Automotif Bumiputera (KWADAB).
Berterima kasih dengan pihak MARii, Dato’ Zainuddin berkata, “Juga menjadi rakan kongsi dalam rujukan kami, terima kasih Dato Madani yang telah bekerja keras memastikan program “EV CENTRE of EXCELLENCE” ini dapat kita tangani hari ini.”
“PEKEMA sebagai persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia ingin menyatakan bahawa segala usaha ini merupakan permulaan kepada gerakan kami dalam membantu syarikat-syarikat bumiputera bukan sahaja dari kalangan peniaga, malah kami ingin turut serta dalam membangunkan negara dalam proses pemindahan teknologi ini. Mewakili PEKEMA dan semua ahli, kami berharap pihak kerajaan menganggap serius dengan perubahan iklim karbon neutral kini seperti yang diwartakan sama ada dari negara jiran mahupun antarabangsa.
Sehubungan itu, kami berharap pihak kerajaan akan lebih peka dengan situasi ini dan meletakkan perubahan kepada tenaga mampan.”