preloder

SEJARAH PENUBUHAN PEKEMA

Pada tahun 1970, selaras dengan Dasar Ekonomi Baru, kerajaan dengan secara terancang menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Justeru, lahirlah dasar pengimportan kenderaan bermotor secara terkawal melalui pengeluaran AP yang diperuntukkan sepenuhnya kepada syarikat kepunyaan Bumiputera.
Dengan itu bermulalah era di mana Bumiputera menubuhkan syarikat dan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pemasaran automotif. Syarikat-syarikat ini telah mengimport kereta-kereta terpakai atau dikenali dengan ‘re-conditioned cars’, terutamanya jenama dari Jepun yang telah mencapai usia diantara 5 hingga 7 tahun. Modal pusingan adalah terhad di antara RM50,000 hingga RM100,000 untuk membeli kereta berharga sekitar RM5 ribu hingga RM8 ribu seunit. Peruntukan AP adalah sekitar 30 hingga 200 unit setahun kepada lebih kurang 269 syarikat pengimport. Bermula dari sini mereka berusaha dengan gigih untuk terus berdaya maju.

Pada tahun 1981 Syarikat-syarikat ini telah bersepakat menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan ‘PERSATUAN PENGIMPOT DAN PENIAGA KENDERAAN MELAYU MALAYSIA’ atau dikenali dengan singkatan nama ‘PEKEMA’. Bermula dengan 48 syarikat ahli, PEKEMA terus berkembang, dan kini jumlah keahliannya mencecah 210 syarikat.

Pada era awal 80-an pelbagai model kereta import dari Jepun dan Eropah seperti Honda, Toyota, Nissan, Mercedes dan BMW mula membanjiri jalanraya di seluruh negara. Ini merupakan petanda yang baik bagi pasaran yang lebih kompetitif dan memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna kenderaan di Malaysia.

Penubuhan Proton pada tahun 1983 dan kemudiannya Perodua pada 1993 membuka lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera menjadi pengedar kereta Nasional tersebut, selain pelantikan oleh syarikat pemasang kenderaan dalam negeri yang tidak seberapa jumlahnya. Pengimport-pengimport bebas kenderaan terpakai sedikit demi sedikit mengumpul dana hasil keuntungan dan dilaburkan untuk mengimbangi peningkatan harga belian kereta dari semasa ke semasa. Lebihannya diguna untuk mengembangkan operasi dan perniagaan masing-masing.

Pelbagai usaha telah dijalankan dan akan sentiasa dipertingkatkan dari masa kesemasa oleh pihak kerajaan dan juga PEKEMA untuk memastikan industri dibawa ke suatu tahap yang lebih baik. Pada tahun 2009 MITI telah memperkenalkan pendekatan baru Pentadbiran AP Terbuka.

Syarikat-syarikat pengimport diwajibkan menepati syarat dan kreteria yang ditetapkan oleh pihak MITI diantaranya ialah seperti mengemukakan penyata kewangan beraudit terkini sebelum peruntukan AP tahunan dikeluarkan. Pihak MITI juga menghantar pasukan audit ke premis-premis perniagaan syarikat pengimport untuk memastikan syarat dan terma dipatuhi. Mempertingkatkan keupayaan kewangan, mempertingkatkan keupayaan pengurusan syarikat dan penubuhan bilik-bilik pameran yang lebih canggih dan terkini.

Pada tahun 2010 pewartaan harga gazet kereta import terpakai telah diperkenalkan. Kenderaan import CBU terpakai menggunakan nilai yang diwartakan melalui Perintah Kastam(Nilai-nilai Kenderaan Motor Pasang Siap Yang Diimport)(Terpakai). Banyak manfaat yang diperolehi diantaranya ialah sistem pengiraan duti yang lebih sistematik dan telus.

MITI telah menguat-kuasakan penggunaan dokumen tambahan iaitu Registration Meter Certificate Preservation Record (RMCPR) bagi kenderaan yang diimport dari Jepun dan dokumen HPI bagi kenderaan yang diimport dari United Kingdom. Dokumen tersebut mencatitkan sejarah kenderaan dinegara asal untuk tujuan pengurusan yang lebih berkesan di Malaysia.

TAHUN

Setelah lebih 30 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan automotif, pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui dan tidak kurang juga kejayaan yang dikecapi. Pengalaman ini telah mematangkan para pengusaha bumiputera dan menjadikan mereka sentiasa bersiap-siaga dan kekal bertahan di dalam industri yang tidak menentu dan serba mencabar ini. Dalam persiapan untuk mengharungi keadaan urusniaga yang lebih mencabar dengan ekonomi Negara yang lebih terbuka kepada cabaran global yang pastinya memerlukan tahap ketahanan dan persaingan yang lebih sengit, bukan sahaja kecekalan yang diperlukan tetapi juga peningkatan pengetahuan

PEKEMA akan terus memperjuangkan hak dan nasib ahlinya agar dapat berganding bahu dengan tonggak pemerintahan bagi merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha Bumiputera serta menyerlahkan wibawa anak bangsa dalam dunia keusahawanan.