Pertimbang Kurangkan Cukai Duti Import

PERSATUAN Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berharap kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempertimbangkan langkah untuk menyelaraskan sistem percukaian kenderaan import supaya pemilik Permit Import (AP) terus mampu bersaing dengan syarikat francais.

Perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Kehormat Pekema, Datuk Nadzir Sheikh Fazir yang bimbang dengan nasib pemilik AP yang dilihat sukar untuk bersaing dengan syarikat francais berikutan beberapa kekangan khususnya melibatkan sistem percukaian.

Beliau tidak terkejut sekiranya ada dalam kalangan pemilik AP yang menjual kenderaan import terpakai gulung tikar berdasarkan situasi semasa yang lebih memihak kepada syarikat francais.

“Kami bawa masuk kenderaan terpakai, menjual kenderaan terpakai tetapi kami terpaksa membayar cukai sebanyak RM10,000 bagi setiap kenderaan. Berbeza dengan syarikat francais yang bawa masuk kenderaan baharu, mereka tidak dikenakan cukai serupa.

“Dalam hal ini, kami terpaksa menjual kenderaan import terpakai dengan kos melebihi RM10,000 berbanding kenderaan baharu yang dijual francais. Sudah tentu sukar bagi kami untuk bersaing dengan francais.

“Selain itu, kami juga dikenakan duti import yang lebih tinggi berbanding syarikat francais. Situasi ini jelas tidak memihak kepada kami, bagaimana kami mampu menawarkan harga kenderaan yang lebih murah dan kompetitif kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Pekema Auto & Industri baru-baru ini.

Isu ketidaksamarataan khususnya berkaitan dengan sistem percukaian dan duti import antara pemilik AP dan syarikat francais sering dibangkitkan oleh Pekema sejak kebelakangan ini.

Perkara itu diberi penekanan memandangkan wujud ketidakstabilan antara pasaran kenderaan terpakai import dan juga yang baharu apabila syarikat francais dilihat menerima lebih banyak kelebihan.

Berikutan itu, Nadzir meminta kerajaan mengkaji semula cadangan persatuan itu supaya menyelaraskan sistem cukai kenderaan import supaya setara antara pemilik AP dengan syarikat francais.

Beliau juga meminta supaya dipertimbangkan penurunan kadar duti import yang dikenakan kepada pemilik AP supaya mampu memberi saingan kepada syarikat francais, sekali gus memberi pilihan kompetitif kepada pengguna yang mahu membeli kenderaan import.

“Saya tahu pembentangan bajet negara telah berlalu, tetapi saya berharap dua isu ini dipertimbangkan oleh MITI serta JKDM. Kami hanya mahukan ‘padang’ yang sama rata supaya usahawan Melayu dan bumiputera mampu bersaing dalam industri.

“Sekiranya, tiada tindakan drastik diambil berkaitan perkara ini, saya khuatir banyak usahawan kenderaan import terpakai khususnya pemilik AP akan ‘bungkus’ kerana sukar bagi kami bersaing dalam situasi yang memberi kelebihan kepada syarikat francais,” jelas beliau.