preloder

‘Perjuangan’ Pekema dibawa ke Dewan Rakyat

ISU berkaitan tuntutan supaya layanan sama rata diberikan kepada usahawan yang mempunyai permit import (AP) dengan syarikat francais bukan sahaja diperjuangkan oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), tetapi kini telah dibawa dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim membangkitkan perkara berkenaan.

Irmohizam meminta penjelasan kementerian berhubung dakwaan layanan tidak sama rata yang diberikan kepada usahawan AP berbanding syarikat francais dalam usaha membangunkan industri kenderaan import di negara ini.

Beliau menzahirkan kebimbangan sekiranya layanan tidak sama rata berterusan, ramai usahawan AP yang merupakan bumiputera tidak dapat bersaing dan berkemungkinan gulung tikar.

“Beberapa halangan yang dibangkitkan oleh Pekema adalah berkaitan dengan cukai AP sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadap satu unit kenderaan dan juga duti import yang mengakibatkan usahawan automotif bumiputera tidak mampu bersaing.

“Perkara itu sekali gus menyebabkan usahawan-usahawan ini berhadapan dengan kemungkinan terpaksa menghentikan operasi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Irmohizam menjelaskan bahawa beliau melihat industri itu telah menyediakan ruang dan peluang pekerjaan kepada hampir 70,000 orang.

“Sekiranya tidak diberikan perhatian dan layanan yang sama rata, mungkin ada antara mereka yang akan kehilangan pekerjaan disebabkan faktor-faktor yang telah dinyatakan sebelum ini,” jelas beliau.

Pekema sebelum ini lantang menyuarakan situasi semasa yang menghimpit usahawan AP negara apabila terpaksa bersaing dengan syarikat francais dalam keadaan ‘padang tidak sama rata’.

Berikutan kelebihan dinikmati syarikat francais ketika ini termasuklah pemansuhan cukai menyebabkan ada masanya nilai kenderaan terpakai lebih `mahal’ berbanding kenderaan baharu.

Situasi itu menyebabkan usahawan-usahawan AP sukar untuk menjual kenderaan masing-masing, memandangkan tawaran harga yang lebih memihak kepada kenderaan baharu dijual syarikat francais.

Berikutan itu, Pekema telah menyuarakan pandangan mereka supaya cukai import AP sebanyak RM10,000 bagi setiap kenderaan dihapuskan, manakala duit import dikurangkan bagi membolehkan usahawan AP terus bersaing dalam pasaran automotif negara, lebih-lebih lagi dalam situasi kelembapan ekonomi ketika ini.