Pelbagaikan Kaedah Pemasaran

WANG SELAMAT, syarikat yang menjalankan perniagaan automotif kenderaan import di Penchala Link, Damansara sejak 20 tahun lalu, telah mempelbagaikan kaedah pemasaran bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan pasaran.

Pengarah Wang Selamat Sdn. Bhd., Farriz Fauzy berkata, media cetak seperti sisipan Pekema Auto & Industri, elektronik dan media baharu digunakan secara meluas bagi mempromosikan kenderaan-kenderaan pelbagai jenama yang dibawa masuk dari luar negara sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kaedah itu dilakukan secara giat oleh 18 kakitangan termasuk empat pegawai pemasarannya bagi menarik perhatian pembeli selain bersaing secara sihat dengan usahawan automotif lain termasuk dalam kalangan peniaga francais.

“Kami juga terpaksa melipat gandakan usaha meneliti kenderaan import bagi memenuhi kehendak pembeli, berbeza ketika zaman ayah saya mempelopori perniagaan ini yang boleh memilih mana-mana jenama.

“Ketelitian ini perlu dilakukan kerana Wang Selamat perlu memastikan kesemua kenderaan import itu akan dibeli dan menjadi pilihan pengguna di negara ini, sebab kuasa membeli semakin rendah ekoran ekonomi yang semakin merosot,” katanya ketika ditemui di Pusat Pamerannya di Jalan Damansara, di sini hari ini.

Tambah Farriz, keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kedudukan mata wang yang tidak stabil menjadi semakin teruk apabila kerajaan mengenakan cukai terhadap kenderaan import khusus bagi pemegang Permit Import (AP) sehingga dua kali ganda.

Katanya, cukai yang dikenakan terhadap pemegang AP agak tinggi sejak kebelakangan ini, terutama bagi model Toyota Vellfire dan Harrier, justeru kajian terhadap caj tersebut perlu dilakukan untuk kereta tersebut bagi membantu para usahawan mampu menarik nafas lega dalam menghadapi situasi sukar seperti hari ini.

“Kami akur apabila kerajaan mengenakan pelbagai cukai seperti cukai import, eksais, cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebab ia memang untuk membantu menjana ekonomi negara, tetapi sejak Oktober lalu caj cukai telah berubah dan tidak masuk akal.

“Misalnya, cukai kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Toyota Harrier mencecah RM90,000 baru-baru ini. Siapa yang berminat hendak beli? Itu belum lagi harga yang dibayar kepada pembekal,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Farriz turut mendedahkan ada pelanggan yang sudah membuat tempahan dan pinjaman sudah diluluskan terpaksa membatalkan urus niaga apabila dimaklumkan terpaksa membayar cukai yang tinggi.

Justeru katanya, sebarang perubahan yang ingin dilakukan dalam industri automotif perlu berbincang dengan pemain industri terlebih dahulu agar ia lebih praktikal dan situasi menang-menang dicapai oleh semua pihak.