Dasar Automotif Negara Tidak Sama Rata

SEJAK Dasar Automotif Nasional (NAP) diperkenalkan pada 2014, Institut Automotif Malaysia (MAI) melaporkan harga jualan kereta di Malaysia telah menurun 12.55 peratus, terutama sekali membabitkan kereta import.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari yang dipetik oleh akhbar tempatan berkata, pengguna di Malaysia sepatutnya berasa untung kerana mampu membeli kereta import seperti BMW dengan harga RM170,000, harga yang tidak jauh beza dengan kereta keluaran Jepun seperti Camry atau Honda Accord.

“Inilah hasil kejayaan setelah NAP dilaksanakan di negara kita. Untuk menggalakkan syarikat pengeluar kereta dari negara asing membuka kilang di Malaysia, satu daripada syarat yang perlu dipatuhi mereka ialah menurunkan harga kereta. Jadi, rakyat telah mendapat manfaat daripadanya,” kata Madani kepada Sin Chew Jit Poh baru-baru ini.

Dalam konteks ini, kenyataan Madani tersebut mengesahkan rungutan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) selama ini, bahawa sektor perniagaan kereta import terpakai yang diusahakan oleh 100 peratus usahawan bumiputera telah diabaikan dan tidak menikmati segala insentif daripada Dasar Automotif Negara.

Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman yang merupakan Pengarah Urusan Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd. berkata, Pekema tidak mempertikai matlamat-matlamat yang digariskan di dalam dasar tersebut.

“Pekema faham dasar tersebut adalah usaha kerajaan menggalakkan syarikat automotif asing melabur untuk mendirikan kilang pemasangan di Malaysia bagi membolehkan mereka memperoleh insentif cukai CKD.

“Ini kita sokong, malah CKD bukan saingan kepada perniagaan Pekema. Apa yang kami harapkan ialah layanan sama rata kepada kami, sama seperti dinikmati syarikat francais yang membawa masuk kenderaan diimport sepenuhnya atau CBU,’’ ujar beliau.

Apatah lagi ujar beliau, insentif daripada dasar automotif itu benar-benar menguntungkan syarikat francais di Malaysia yang ekuitinya majoriti dikuasai oleh syarikat induk di luar negara.

Zainuddin berkata, penetapan levi RM10,000 bagi setiap kenderaan import terpakai terhadap ahli Pekema adalah isu layanan tidak sama rata yang dimaksudkan dan Pekema telah lama meminta agar kerajaan menghapuskannya.

Menurutnya, ahli Pekema turut berdepan kesulitan untuk mengimport kereta terpakai hibrid kerana dikenakan cukai 100 peratus, berbanding francais diberi insentif khas EEV mengikut Dasar Automotif Negara.

Selain itu ujarnya, ahli Pekema yang membawa kereta mewah, misalnya Toyota Vellfire 3.5 liter yang `berusia’ setahun dikenakan cukai menjangkau RM90,000 sebuah.

“Kami tidak pertikai insentif atau kelebihan yang diberikan kepada syarikat asing kerana kami amat mengerti bagaimana pelaburan mereka memberi manfaat besar kepada negara dan juga pengguna.

“Namun fakta bahawa Pekema juga pemain dalam industri automotif tidak wajar diketepikan sama sekali dan berdepan dengan pelbagai cukai yang hanya kami dikenakan. Kami juga berharap untuk menerima layanan sama rata, lebih-lebih lagi dalam suasana pasaran automotif tidak berapa baik pada masa ini,’’ ujar beliau.