preloder

Bayaran Cukai One-off Bagi Kereta Klasik

KENDERAAN merupakan aset yang sering kali dikaitkan dengan susut nilai yang tinggi berbanding aset yang lain seperti hartanah, saham, barang kemas dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, bukan semua kenderaan mengalami susut nilai yang tinggi kerana kereta klasik dan vintaj mengalami peningkatan harga hari demi hari.

Pengarah Urusan Kuala Lumpur & Temasek Enterprise Sdn. Bhd., Mohd. Zaini Repin yang memulakan perniagaan kereta klasik sejak 2010 memberitahu, beliau berjaya menjual hingga 50 unit kenderaan vintaj pelbagai jenama sehingga 2014.

“Tetapi, keadaan telah berubah pada 2014 apabila kerajaan melaksanakan sistem cukai yang lebih kurang sama dengan kenderaan import terpakai para peniaga dan pemegang Permit Import (AP).

“Kaedah yang digunakan kerajaan iaitu menilai cukai kereta import menerusi maklumat di internet mengakibatkan cukai kenderaan terlalu mahal dan membebankan pembeli, sekali gus ia tidak mampu dimiliki pembeli,” katanya ketika ditemui Pekema Auto & Industri di sini hari ini.

Jelas Mohd. Zaini, kerajaan sepatutnya membantu usahawan bumiputera dalam industri kenderaan klasik kerana bidang ini ada masa depan yang cerah untuk membawa industri kenderaan klasik ke peringkat yang lebih jauh.

Katanya, kerajaan dicadangkan supaya mengenakan cukai one-off sebanyak RM10,000 bagi kenderaan klasik yang berusia 25 tahun dan RM5,000 bagi yang berusia 25 tahun ke atas.

Tambah beliau, cukai one-off itu pula perlu diberikan kepada ahli-ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sahaja bagi membolehkan ia dapat dikawal dan menggalakkan pemegang AP berdaftar dengan persatuan tersebut.

“Selain itu, kerajaan juga dicadangkan supaya mengguna pakai AP doket kereta klasik seperti sebelum ini, iaitu meletakkan nilai mengikut tahun keluaran kenderaan tersebut.

“Dua kaedah ini sahaja jalan terbaik untuk kerajaan membantu menghidupkan semula industri kereta klasik di negara ini, selain memberi pulangan pendapatan semula kepada pendapatan dan ekonomi negara,” katanya.

Di samping itu, Mohd. Zaini berkata, cabaran menjual kereta klasik tidak sama seperti kenderaan lain antaranya tiada pinjaman bank dan insurans, ia adalah tanggungan 100 peratus oleh pembeli.

Katanya, namun permintaan pada 2014 masih ada kerana harga dan cukai masih mampu dimiliki oleh masyarakat negara ini, berbeza pada hari ini cukai yang dikenakan hampir sama dengan kenderaan import terpakai.